RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar 10 kes perlombongan emas dan mineral haram melibatkan rampasan bernilai RM8.9 juta di tiga negeri Pantai Timur sepanjang tahun ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu membabitkan pelbagai jenis kenderaan, jentera berat, peralatan melombong dan emas mentah menerusi Ops Khazanah di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Menurutnya, seramai 52 lelaki dan masing-masing seorang wanita tempatan dan asing berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an ditahan.
“Suspek yang ditahan di lombong haram terdiri daripada rakyat tempatan, Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Orang Asli. Kelantan dan Terengganu paling tinggi kes rampasan peralatan termasuk jentera berat dan emas mentah.
“Kita turut menjumpai emas mentah di bawah karpet yang dijadikan sebagai penapis ketika kerja-kerja melombong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pos PGA Pak Teh Kana di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata, kebanyakan kegiatan melombong haram di ketiga-tiga negeri itu bermula sejak Januari lalu. Selain emas, terdapat unsur mineral lain yang dijumpai ketika serbuan di Temerloh, Pahang baru-bari ini.-KOSMO! ONLINE.















