MISANO – Juara dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo menyifatkan sesi ujian rasmi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Februari depan sebagai medan penting bagi menentukan potensi sebenar jentera baharu Yamaha.
Pelumba kelahiran Perancis tersebut sudah kemarau kemenangan sejak tiga musim lalu dan tidak meletakkan harapan tinggi terhadap projek baharu pasukan pengeluar dari Jepun itu.
Quartararo menuntut sebuah jentera yang mampu mencabar kedudukan podium atau sekurang-kurangnya kelompok lima terbaik secara konsisten pada setiap perlumbaan sprint dan sebenar musim depan.
“Saya perlukan motosikal yang pantas. Saya perlu rasakan bahawa ia adalah jentera juara. Ia sangat jelas, saya sudah menghabiskan bertahun-tahun dengan kesukaran, kini saya mahukan jentera yang mampu mencipta kemenangan,” katanya.
Pada sesi ujian di Valencia baru-baru ini, Quartararo sekadar mencatat masa tempat ke-15 terpantas, ketinggalan 0.554 saat di belakang pendahulu menggunakan prototaip awal enjin V4.
Perubahan drastik dijangka dilakukan oleh Yamaha menjelang ujian di Malaysia dengan pelumba uji pasukan itu, Augusto Fernandez menyifatkan ia bakal menampilkan versi V4 yang ‘sebenar’.
“Untuk ujian di Valencia, saya tahu motosikal belum siap sepenuhnya. Namun, pada Februari (di Sepang), ia akan hampir menyamai spesifikasi perlumbaan sebenar.
“Jadi amat penting untuk saya mendapatkan apa yang saya mahukan pada ujian di Sepang nanti,” tambah Quartararo.
Yamaha akan menyertai ujian shakedown di SIC pada 29 hingga 31 Januari 2026, sebelum ujian rasmi membabitkan semua pelumba berlangsung pada 3 hingga 5 Februari. – AGENSI















