SKUAD silat negara kini berada dalam situasi berjaga-jaga susulan kemungkinan pertukaran venue Sukan SEA dari Songkhla ke Bangkok ekoran bencana banjir melanda selatan Thailand.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Bibi Aishah Golbal Shah berkata, pihaknya telah menerima maklumat awal daripada rakan sejawat di Thailand, namun masih menanti keputusan rasmi Majlis Olimpik Malaysia dan penganjur hari ini.
“Mengikut perancangan asal, kami akan menaiki bas dari Kuala Lumpur, bermalam sehari di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyai.
“Jika venue bertukar ke Bangkok, kami tiada pilihan lain selain menaiki pesawat. Ini kali pertama dalam tempoh tiga penggal saya sebagai Setiausaha Agung berlaku pertukaran venue di saat akhir, kebiasaannya hanya tarikh yang berganjak,” katanya.
Selain isu pengangkutan, pihak pengurusan juga menyuarakan kebimbangan mengenai aspek pemakanan dan penginapan sekiranya venue dipindahkan ke Bangkok.
“Kalau di Hatyai, urusan makanan halal atlet lebih mudah kerana banyak pilihan. Di Bangkok, kita perlu lebih teliti menjaga pemakanan atlet. Ramai penyokong dan keluarga atlet sudah menempah tiket serta hotel di Hatyai, jadi ini agak menyukarkan,” jelasnya.
Difahamkan, setakat ini acara bola sepak sudah disahkan berpindah ke Bangkok, manakala venue silat di Songkhla dilaporkan terselamat, namun kawasan sekeliling dan akses jalan raya terjejas teruk akibat banjir.
Atlet silat negara kini sedang giat menjalani latihan intensif di Cameron Highlands dan berada dalam kondisi terbaik untuk mencipta kejutan di temasya dwitahunan tersebut.
Laporan media Thailand menyebut 10 acara Sukan SEA ke-33 yang sepatutnya berlangsung di Songkhla dipindahkan sepenuhnya ke Bangkok berikutan banjir besar dan kebimbangan mengenai keselamatan venue serta risiko penyakit selepas air surut.
Timbalan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Thailand (NOCT), Chalitrat Chantarubeksa berkata, beliau menerima makluman rasmi keputusan itu dibuat selepas menilai keadaan semasa yang tidak memungkinkan persiapan di Songkhla disiapkan mengikut standard.
Keputusan itu memberi kesan kepada 10 sukan utama termasuk tinju, bola sepak, pencak silat, judo, karate, gusti, kabaddi, catur, petanque dan wusyu yang secara keseluruhan menawarkan 109 pingat emas. – KOSMO! ONLINE














