PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 11 Disember ini bagi pendengaran permohonan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang membenarkan PKR merayu berhubung syarat bon parti daripada RM10 juta kepada RM100,000.
Tarikh itu dimaklumkan oleh peguam Navpreet Singh yang mewakili PKR pada pengurusan kes hari ini.
Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 6 Oktober lalu, Zuraida memohon keputusan Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun lalu yang membenarkan permohonan PKR disemak semula dan diketepikan. Notis usul itu turut menyatakan apa-apa prosiding lanjutan atau berkaitan ditangguhkan sementara sehingga pelupusan pendengaran notis usul ini.
Dalam saman sivil, pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapat kebenaran merayu terlebih dahulu.
Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada PKR untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah yang perlu dibayar Zuraida daripada RM10 juta kepada RM100,000 kerana melanggar syarat bon parti.
Permohonan itu yang dibenarkan oleh panel tiga hakim iaitu Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera merupakan syarat bagi membolehkan perkara tersebut dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 11 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Zuraida hanya perlu membayar RM100,000 kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk See Mee Chun selepas membenarkan sebahagian rayuan Zuraida selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan perayu membayar RM10 juta kepada PKR.
Sebelum itu, pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada parti kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti berkenaan.
Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, Zuraida memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Berdasarkan saman yang difailkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 2020, PKR mendakwa Zuraida menandatangani suatu bon pada 25 April 2018 yang mengikat dirinya untuk membayar parti RM10 juta, berdasarkan terma dan syarat.
Jumlah tersebut adalah nilai pampasan yang perlu dibayar oleh mereka yang bertindak keluar parti atas penggunaan nama, logo dan benda serta perkhidmatan dan sokongan diberikan oleh PKR sewaktu bertanding. – KOSMO! ONLINE














