GEORGE TOWN – Penduduk di rumah pangsa Ampang Jajar di Butterworth, dekat sini turut merasai gegaran susulan kejadian gempa berukuran 6.6 skala Richter di barat Sumatera, Indonesia, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.36 tengah hari tadi.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima dari NG MERS999 yang menyatakan terdapat gegaran gempa bumi di lokasi kejadian.
“Operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth. Pasukan telah membuat ‘size up’ dan mendapati hanya berlaku gegaran kecil seperti mana yang dilaporkan.
“Gegaran yang berlaku tidak melibatkan mangsa serta tiada kerosakan yang terjejas pada bangunan tersebut,” katanya di sini, sebentar tadi.
Jelas beliau, operasi tersebut tamat pada pukul 2.10 petang tadi setelah mendapati lokasi berkenaan berada dalam keadaan selamat.
Terdahulu, media melaporkan gempa bumi berkuasa 6.6 skala Richter menggegarkan pulau Simeulue, namun tiada laporan kerosakan atau amaran tsunami dikeluarkan setakat ini.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) itu, gempa yang tercetus pada 11.56 pagi waktu tempatan berlaku pada kedalaman 25 kilometer. -KOSMO! ONLINE














