SUNGAI PETANI – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah di sini ditemui pengsan dan mengalami kecederaan lebam pada badan, dipercayai akibat dibelasah empat rakan sekolah, Isnin lalu.
Mangsa berusia 16 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah pada pukul 9 pagi oleh seorang guru yang kemudian menghantarnya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, laporan polis dibuat ibu pelajar terbabit sejurus dimaklumkan tentang kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12.10 tengah malam Isnin lalu di dalam dorm asrama sekolah.
“Mangsa dikatakan telah memburukkan seorang kawannya di hadapan pelajar lain sebelum empat pelajar yang tinggal satu asrama dengannya bertindak memukulnya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, selepas dipukul, mangsa yang mengalami kecederaan masih sedarkan diri sebelum rebah dan pengsan ketika sedang membersihkan diri di dalam tandas.
“Hasil laporan ibu mangsa, kita menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun dan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang didakwa terlibat dalam kejadian itu petang semalam,” ujarnya.
Katanya, Majistret Nor Fazlina Musa hanya membenarkan pelajar lelaki berusia 17 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507B kanun sama, manakala tiga pelajar lagi dibebaskan.-KOSMO! ONLINE.














