REMBAU – Seorang warga emas di daerah ini menjadi satu-satunya tukang jam yang masih bertahan dengan menawarkan khidmat membaiki jam sejak 37 tahun lalu.
Perniagaan yang diwarisi individu yang dikenali sebagai Mok, 72, itu dari mendiang ayahnya masih menjadi antara daya penarik pekan kecil berkenaan.
Menurut Mok, dia sudah mula mempelajari cara membaiki jam setelah bekerja di Kuala Lumpur dan beberapa kali dipanggil pulang ke Rembau oleh mendiang ayahnya yang mengusahakan perniagaan jam.
“Akhirnya, saya akur dan membantu ayah membaiki jam di sini. Ikutkan, bapa saudara saya, anak buah saya ramai yang pandai membaiki jam ini, namun mereka tidak tinggal di sini, jadi sayalah yang teruskan walaupun pelanggan kini sangat kurang.
“Namun, masih ada yang mahu menggunakan khidmat saya kerana upah menukar bateri jam serendah RM15. Harga ini jauh lebih rendah dari mana-mana kedai di Kuala Lumpur dan Seremban,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Ujar Mok lagi, nama sebenar kedai itu ialah Kedai Jam Hong Hing, namun, penduduk setempat dan pelanggan lebih mengenalinya dengan nama Kedai Jam Gomok berikutan saiz badannya serta bapa sedikit gempal.
Jelasnya, dia masih menyewa di kedai dengan upah yang rendah serta akan terus menawarkan khidmat membaiki jam sehingga kudratnya masih ada.
“Ikutkan umur macam ni sudah pencen, dua anak saya juga sudah berkahwin ada keluarga sendiri. Saya dah boleh tutup kedai ni, tapi ramai yang masih memerlukan khidmat ini walau jarang-jarang digunakan.
“Saya masih sayang nilai sentimental kedai jam ini dan akan terus bertahan sampai habis kudrat,” ujarnya.















