fbpx
Hishamuddin (tengah) bersama beberapa mangsa ketika berhimpun di hadapan AGC hari ini.

Mangsa skim kripto Gigamax rayu AGC percepat pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seramai 99 mangsa skim pelaburan mata wang kripto Gigamax hari ini merayu Jabatan Peguam Negara (AGC) agar mempercepatkan proses pertuduhan terhadap suspek-suspek utama yang telah ditangkap polis.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman telah memberkas tiga individu yang dikehendaki, sehingga kini tiada sebarang pertuduhan dibuat.

Susulan itu, Hishamuddin berkata kehadiran 99 mangsa adalah untuk memohon perhatian dan pertimbangan Peguam Negara agar pertuduhan dapat dilakukan terhadap dalang yang tidak bertanggungjawab ini pada kadar sesegera mungkin.

“Sehingga hari ini, tiada pertuduhan difailkan ke atas mana-mana individu, menyebabkan mangsa-mangsa semakin resah dan tertanya-tanya hala tuju kes ini.

“MHO berharap Bahagian Pendakwaan AGC dapat memberi keutamaan kepada kes ini dan seterusnya mencadangkan kepada pegawai penyiasat supaya kertas siasatan dilengkapkan dengan segera bagi membolehkan pendakwaan dibuat,” katanya pada sidang akhbar di hadapan Jabatan Peguam Negara di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah kerugian keseluruhan yang ditanggung mangsa mencecah RM4.8 juta, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat yang terpedaya dengan janji pulangan lumayan pelaburan kripto tersebut.

Hishamuddin berkata, mangsa-mangsa amat berharap tindakan tegas diambil terhadap semua individu yang terlibat dalam sindiket penipuan tersebut bagi menegakkan keadilan.

“Mangsa-mangsa menghargai komitmen pihak polis yang telah bertindak menangkap suspek-suspek utama.

“Mereka kini menanti dengan penuh harapan agar hak dan kerugian yang dialami dapat terbela melalui proses undang-undang yang sewajarnya,” katanya.

Pada 9 Mei lalu, sebuah laporan akhbar tempatan berbahasa Cina mendakwa tiga dalang utama itu ditahan di KLIA oleh pasukan polis selepas melarikan diri ke luar negara selama lima bulan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN