PETALING JAYA – Situasi banjir di seluruh negara terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 34,289 mangsa daripada 11,547 keluarga berlindung di 220 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri setakat pukul 12 tengah hari.
Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 10,907 orang yang ditempatkan di 66 PPS, dengan Tumpat menjadi daerah paling terjejas diikuti Kota Bharu dan Bachok.
Perlis pula merekodkan seramai 7,270 mangsa menjadi negeri kedua paling terjejas dan menunjukkan trend meningkat dengan kesemua mangsa ditempatkan di 24 PPS. Perak turut mencatat peningkatan kepada 5,313 mangsa terutama di Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak setakat tengah hari tadi.
Di Kedah, seramai 4,270 mangsa direkodkan di Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena, manakala Terengganu mencatatkan 4,013 mangsa dengan Setiu, Kuala Terengganu dan Dungun menunjukkan pertambahan bilangan mangsa.
Selangor turut melonjak kepada 2,497 mangsa, dengan Kuala Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 2,210 orang, manakala Pahang pula merekodkan jumlah terendah iaitu 19 mangsa di Lipis.
NDCC berkata, dua kematian dilaporkan di Kelantan masing-masing di Tanah Merah dan Gua Musang.- KOSMO! ONLINE.















