PETALING JAYA – Bilangan mangsa banjir di tujuh negeri terus meningkat kepada 33,756 orang melibatkan 11,229 keluarga yang ditempatkan di 200 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul pukul 6 pagi tadi.
Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Kelantan kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 10,968 mangsa, diikuti Perlis (6,861) dan Perak (5,234).
Di Kedah, seramai 4,369 penduduk terjejas dalam kejadian bencana itu, manakala Terengganu 3,864 orang, Selangor (2,441) dan Pahang (19).
Beberapa daerah merekodkan peningkatan mangsa yang terjejas seperti di Machang, Tanah Merah dan Gua Musang di Kelantan, manakala Perak Tengah serta Hilir Perak di Perak.
Di Kedah, daerah Kota Setar turut merekodkan pertambahan mangsa, manakala lokasi lain bilangannya tidak berubah.
Pada masa sama, antara kawasan yang mencatatkan trend menurun adalah Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan beberapa daerah di Perak berikutan paras air yang beransur surut. Namun, beberapa kawasan di Terengganu dan Selangor masih tidak berubah.
Setakat ini, dua kematian direkodkan di Kelantan masing-masing di Tanah Merah dan Gua Musang ekoran bencana tersebut sejak 21 November lalu.
Sementara itu, Jabatan Meterologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Kelantan dan Terengganu sehingga esok selain ribut petir dan hujan lebat di beberapa negeri lain termasuk Perak, Selangor, Sabah dan Labuan pada pagi ini.- KOSMO! ONLINE.















