fbpx
Mohd Na'im (tujuh dari kanan) melancarkan buku Islam Mekar Bersama Malaysia MADANI di Putrajaya baru-baru ini.

MAHEA 2025 perkukuh agenda pembangunan ummah, syiar Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis Himpunan Agensi Hal Ehwal Agama (MAHEA) 2025 baru-baru ini menghimpunkan lebih 800 warga kerja daripada pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (JPM-HEA) sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh agenda pembangunan ummah dan syiar Islam di Malaysia.

Menteri JPM-HEA, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, MAHEA bukan sekadar perhimpunan tahunan, sebaliknya platform penyatuan, pemerkasaan nilai dan pemantapan strategi selaras dengan Transformasi Al-Falah serta agenda Malaysia MADANI.

“Kami merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen berterusan memperkukuh agenda pembangunan ummah melalui peningkatan peruntukan Hal Ehwal Agama kepada RM2.6 bilion dalam Belanjawan MADANI 2026.

“Peningkatan ini membuktikan keyakinan tinggi kerajaan terhadap JPM-HEA sebagai peneraju utama pembangunan Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Selain itu majlis tersebut turut disempurnakan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada agensi dan warga kerja yang me­raih anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa hasil inovasi, kreativiti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, sekali gus mengangkat imej JPM-HEA dalam ekosistem reformasi perkhidmatan awam.

“Pada majlis sama, Skuad Ihsan MADANI JPM-HEA turut dilancarkan iaitu pasukan sukarelawan me­rentas agensi yang akan digerakkan bagi membantu mangsa bencana terutama menjelang Monsun Timur Laut.

“Menteri turut mencadangkan agar Tabung Musa’adah Bencana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia–Yayasan Wakaf Malaysia diaktifkan semula bagi mengumpul sumbangan orang ramai dan menyelaras bantuan ke kawasan terjejas,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, turut dilancarkan ialah buku Islam Mekar Bersama Malaysia MADANI, dokumentasi komprehensif pencapaian tiga tahun Transformasi Al-Falah yang diterbitkan dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

“Buku berkenaan menegaskan bahawa Islam terus berkembang subur dan menjadi tunjang pembangunan negara, sekali gus menepis persepsi bahawa kedudukannya terancam.

“Mengakhiri majlis itu, menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, IKIM serta semua urusetia atas kejayaan penganjuran MAHEA 2025, dan kepada seluruh warga kerja yang hadir sebagai simbol kesatuan serta kekuatan ekosistem Hal Ehwal Agama menuju tahun 2026,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN