fbpx
HOJLUND (tengah) dijatuhkan dalam kotak penalti ketika Napoli menang 2-0 ke atas Qarabag awal pagi semalam. - AFP

Kemarau jaringan Hojlund berlarutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAPLES – Bekas bintang buangan Manchester United, Rasmus Hojlund terus kemarau jaringan dalam enam perlawanan berturut-turut termasuk kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti buat Napoli menentang Qarabag awal pagi semalam.

Kegagalan tersebut tidak begitu dirasai selepas seorang lagi bekas pemain United, Scott McTominay menyelamatkan keadaan dengan meledak gol buat Napoli untuk mencatat kemenangan 2-0 pada aksi di Stadio Diego Armando Maradona itu.

Satu lagi jaringan juara Serie A Itali itu diperoleh menerusi gol sendiri pemain tengah Qarabag, Marko Jankovic.

Pengendali Napoli, Antonio Conte pastinya ‘pening kepala’ mencari jalan untuk membantu Hojlund menamatkan kemarau jaringannya selepas cemerlang membuka kariernya bersama Napoli musim ini.

Penyerang Denmark itu yang menyertai Napoli secara pinjaman dengan pilihan pembelian tetap bernilai £38 juta (RM207.24 juta), apabila meledak lima gol daripada enam aksi pertamanya.

Bagaimanapun, sejak mengalami kecederaan otot pada Oktober lalu, Hojlund gagal menemui sentuhan jaringannya biarpun mendapat peluang keemasan melalui sepakan penalti selepas Giovanni Di Lorenzo dijatuhkan oleh Jankovic pada minit ke-56.

Rembatan deras bekas pemain Atalanta itu berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Qarabag, Mateusz Kochalski, namun gol daripada McTominay dan jaringan sendiri Jankovic pada minit ke-65 serta 72 menghadiahkan kemenangan buat Napoli.

Ia adalah kemenangan kedua buat Napoli di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini selain seri satu dan tewas dua kali daripada lima perlawanan setakat ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN