KUALA TERENGGANU – Kemaman dan Dungun menjadi daerah terbaharu dilanda banjir menjadikan tujuh daerah terjejas di Terengganu setakat ini.
Kuala Nerus menjadi satu-satunya daerah yang bebas banjir setakat ini setelah Pulau Redang pulih sepenuhnya pada lsnin lalu.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, setakat ini, seramai 3,907 mangsa daripada 1,185 keluarga berlindung di 43 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah berkenaan.
“Marang menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,792 mangsa daripada 551 keluarga berlindung di lapan PPS. Seramai 1,473 mangsa daripada 435 keluarga pula berada di 20 PPS di Setiu,” katanya hari ini.
Selain itu, sebanyak enam PPS dibuka di Besut yang menempatkan 186 mangsa daripada 57 keluarga. Kuala Terengganu pula merekodkan 180 mangsa daripada 86 keluarga yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol.
“Seramai 159 mangsa daripada 32 keluarga pula berada di tiga PPS di Hulu Terengganu, manakala empat PPS yang mempunyai 114 mangsa beroperasi di Dungun,” katanya.
Tiga sekeluarga pula menjadi mangsa terawal yang menghuni PPS di Kemaman. – KOSMO! ONLINE















