ALOR SETAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengambil tindakan tegas menggantung dan membuang pelajar yang didapati bersalah dalam insiden pergaduhan di sebuah sekolah baru-baru ini.
JPN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan pelajar dan tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa.
“Pihak sekolah juga selesai menjalankan siasatan dalaman yang menyeluruh. Hukuman gantung dan buang sekolah diambil ke atas murid yang bersalah,” katanya. JPN Kedah menegaskan tiada kompromi terhadap isu buli, keganasan dan salah laku murid.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah di Sungai Petani ditemui pengsan dengan kecederaan lebam di badan dipercayai dibelasah empat rakan Isnin lalu.
Mangsa berusia 16 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah pada pukul 9 pagi oleh seorang guru sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi mendapatkan rawatan.
Majistret Mahkamah Sungai Petani, Nor Fazlina Musa membenarkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan, manakala tiga pelajar lain dibebaskan. – KOSMO! ONLINE














