KANGAR – Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini kekal beroperasi walaupun sebahagiannya ditenggelami air berikutan banjir yang melanda hampir seluruh negeri itu.
Pengunjung, Mohd. Azril Ezwan Ahmad, 38, berkata, dia membawa anak perempuannya untuk pemeriksaan selepas kanak-kanak itu mengadu sakit perut.
“Anak saya menerima rawatan termasuk pemeriksaan x-ray, namun alhamdulillah hasil pemeriksaan mendapati tiada perkara serius dikesan. Mujur hospital dibuka dan operasi masih berjalan. Cuma suasana di sini macam Gua Kelam, hanya beberapa lampu dihidupkan menyebabkan bahagian farmasi kelihatan suram,” katanya berseloroh.
Tinjauan Kosmo! mendapati air di kawasan hospital mula surut, namun beberapa zon masih ditenggelami air termasuk kawasan parkir Blok B yang menempatkan wad bersalin.
Selain itu, beg pasir turut disusun di pintu masuk Jabatan Kecemasan sebagai benteng sementara, manakala sebuah papan luncur dipinjamkan individu tidak dikenali bagi kegunaan kakitangan jika keadaan mendesak.
Difahamkan beberapa blok menempatkan farmasi, jabatan pesakit luar, klinik pakar dan kafetaria mengalami gangguan elektrik setakat tengah hari tadi.
Sebelum ini proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik juga dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar dipercayai disebabkan gangguan elektrik serta persekitaran yang masih digenangi air.
Beberapa generator sokongan turut disediakan sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan sekiranya bekalan elektrik terputus sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE















