SHAH ALAM – Musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri terutama di Pantai Timur dan Utara sejak Ahad lalu menyaksikan harga sayur mengalami kenaikan sehingga dua kali ganda ekoran kekurangan bekalan akibat banjir.
Tinjauan Kosmo! menyaksikan beberapa jenis sayur-sayuran termasuk cili padi naik antara RM2 hingga RM6. Antara sayur yang naik adalah kubis daripada RM6 kepada RM8 sekilo, cili padi RM14 sekilo kepada RM20 sekilo.
Seorang peniaga sayur, Azmi Ali, 38, berkata, setiap kali musim tengkujuh, harga sayur-sayuran sering berubah akibat kekurangan bekalan dari ladang dan keadaan ini akan kembali normal dua bulan lagi.
“Walaupun bukan semuanya disebabkan banjir, memang tak dapat dinafikan kerosakan ladang akibat bah membuatkan banyak harga sayur naik mendadak.
“Sebelum ini cili padi sekitar RM14, tapi bila banjir naik sampai RM20 satu kilogram (kg). Daun ketumbar pula daripada RM15 terus melambung ke RM38 sekilo,” katanya ketika ditemui di Pasar Moden Seksyen 6, di sini, semalam.
Peniaga lain, Muhammad Zulfadhli Muhammad Ismail, 42, berkata, kalangan peniaga perlu bertahan dengan kenaikan harga terutama sayur jenis daun daripada pembekal.
“Sayur seperti kangkung, bayam dan sawi naik sehingga 30 peratus berbanding harga sayur lain, memang jauh beza,” katanya.
Seorang peniaga yang ingin dikenali Naib, 67, berkata, harga sayur yang dibeli peniaga dari pasar borong dan kampung berbeza.
“Saya sendiri mendapatkan bekalan dari kampung. Walaupun kawasan itu turut terjejas banjir, keadaannya masih tidak seteruk dialami pembekal atau peniaga yang bergantung kawasan dilanda banjir teruk.
“Kebanyakan sayur yang naik harga ini, peniaga dapat bekalan dari Thailand. Jadi bila laluan penghantaran terjejas, harga memang tak dapat dikawal,” katanya.














