LONDON – Bekas pemain Arsenal, Bacary Sagna menggesa penggempur Crystal Palace, Jean-Phillippe Mateta membuat keputusan yang bijak untuk melonjakkan lagi kariernya menjelang jendela perpindahan musim sejuk nanti.
Menurutnya, peluang berhijrah ke Manchester United dianggap terbuka ketika ini apabila kelab itu memerlukan penyerang baharu apabila penggempur utama mereka, Benjamin Sesko mengalami kecederaan lutut.
United ketika ini sudah berjaya meledak 19 gol dan jentera serangan mereka dianggap lebih baik berbanding musim lalu, namun Sesko hanya mampu meledak dua gol setakat ini, sekali gus belum menepati jangkaan untuk muncul penyerang utama.
“Saya rasa masuk akal sekiranya Mateta ke Manchester United. Mereka tidak mempunyai pemain No. 9 yang tinggi dan mampu memegang bola serta menyudahkan hantaran-hantaran lintang.
“Mungkin Mateta dilihat masih belum benar-benar menyesuaikan diri di Selhurst Park. Dia datang sebagai pemain baharu ketika kelab itu juga mempunyai ramai muka baharu. Namun, berhijrah ke Old Trafford adalah pilihan terbaik yang dia ada ketika ini.
“Palace pasti sukar untuk menghalangnya dan ini adalah masa sesuai sekiranya dia mahu mencabar diri bermain dengan pasukan besar di Liga Perdana Inggeris. Dia bukan lagi pemain muda, ini mungkin peluang terakhir dalam karier dan perlu meraih peluang ini,” jelasnya.
Pemain berusia 28 tahun itu memiliki kontrak sehingga musim panas 2027 di Selhurst Park dan dianggap penyerang prolifik untuk Palace apabila berjaya membantu jentera serangan pasukan itu. – AGENSI















