PETALING JAYA – Nekad meninggalkan tabiat buruk, pelakon Que Haidar mengakui dalam fasa mengurangkan pengambilan rokok sebagai usaha mengamalkan gaya hidup sihat.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar, 46, berkata, dia kini hanya merokok sekotak seminggu berbanding sebelum ini menghabiskan 12 batang rokok dalam sehari.
“Sudah seminggu, tapi masih ada enam batang rokok lagi. Hebat juga saya boleh bertahan. Kadang-kadang ada hari yang saya terlupa nak merokok.
“Ini perkembangan yang sangat baik untuk diri saya sebab memang niat nak berhenti merokok. Dulu sehari sekotak, sekarang sekotak seminggu.
Perlahan-lahan insya-Allah akan okey,” kongsinya dalam hantaran video di TikTok
Kata bintang filem Rock Oo! itu lagi, buat masa ini fokus utamanya adalah memberi perhatian terhadap perkembangan diri tanpa sebarang tekanan.
“Saya tak boleh bandingkan diri dengan hidup orang lain. Yang saya lihat hanya perkembangan diri saya berbanding sebelum ini.
“Dulu sehari sekotak, lepas itu saya perlahan-lahan kurangkan. Sekarang sekotak seminggu. Lama-lama, Insya-Allah boleh berhenti terus,” ujarnya.
Terdahulu, nama Que menjadi sebutan selepas video ‘miming’ lagu Jamilah dendangan asal Jamal Mirdad yang dikongsikan tanpa berbaju tular di laman sosial hingga mencecah lebih 6 juta tontonan.
Duda anak dua itu kemudian menjadi rebutan jenama terkenal yang berminat melantiknya menjadi duta termasuk gedung pakaian. – KOSMO! ONLINE















