SHAH ALAM – Trauma akibat banjir besar pada 2021 membuatkan penduduk di Kampung Telok Menegun di sini sentiasa bimbang setiap kali hujan lebat.
Seorang penduduk, Siti Nor Fadzilah Ali, 43, berkata, walaupun paras air kali ini hanya setinggi lutut berbanding paras dada pada banjir 2021 namun rasa risau tetap membelenggu.
Katanya, dia yang pulang dari tempat kerja di Subang dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari mendapati ada sesetengah kawasan tidak ubah seperti ‘pulau’.
“Trauma sebab air tenang tiba-tiba boleh naik laju. Tambahan rumah saya di kawasan rendah.
“Jiran-jiran pula kerap menghubungi bagi mengetahui ‘update’ keadaan paras air sebab mereka tidak boleh keluar nanti.
“Barang-barang dan dokumen penting pun saya sudah letak dalam kereta sekiranya apa-apa berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau antara 101 penerima sumbangan fidyah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang disampaikan Pengerusi MAIS. Datuk Salehuddin Saidin di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) , Kampung Sungai Kandis di sini.
Bagi Sulaiman Kasuri, 57, mengakui banjir sememangnya memberikan kesan psikologi selain kerosakan harta benda.
“Siapa yang tidak risau rumah dinaiki air. Keadaan sekarang pula tidak menentu dan hujan mulai turun semula.
“Malam tadi baru pulang ke rumah dan mengemas segalanya. Terima kasih MAIS kerana membantu pada hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Salehuddin berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan fidyah berupa bantuan kotak makanan kering bernilai keseluruhan RM22, 422 melibatkan 65 penerima di Sungai Kandis dan 36 bagi kawasan Meru.
“Setiap ketua keluarga yang terkesan menerima bantuan kotak makanan bernilai RM222. Kita berharap dapat membantu keperluan dan meringankan beban mangsa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















