MELAKA – Sepasang kekasih diberkas polis selepas dipercayai mengambil upah melakukan khianat dengan cara membakar dan menyimbah cat ke atas kediaman serta kenderaan bagi pihak individu yang mahu membalas dendam atau arahan daripada along, kelmarin.
Pasangan berusia 26 dan 36 tahun itu diberkas sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah pada pukul 8.30 malam di kawasan sekitar Kajang dan Serdang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berjaya dikesan selepas satu laporan polis dibuat seorang mangsa membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton X50 telah dibakar di lorong Laksamana, Bukit Cina pada 11 November lalu.
Katanya, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku antara pukul 1.45 hingga 1.50 pagi, apabila suspek dilihat berlegar-legar menaiki kereta jenis Hyundai Sonata di kawasan perumahan mangsa sebelum membaling objek yang dinyalakan api ke halaman kediaman.
“Perbuatan suspek telah menyebabkan kenderaan mangsa jenis Proton X50 musnah terbakar dan bertindak atas maklumat tersebut kita berjaya mengesan serta memberkas suspek.
“Dengan penahanan tersebut, pasukan D7 IPD Melaka Tengah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes khianat api dan satu kes simbah cat yang berlaku di kawasan perumahan sekitar daerah ini antara Julai hingga November ini,” ujarnya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, hasil soal siasat suspek dipercayai mengambil upah melakukan khianat tersebut daripada individu yang ingin membalas dendam serta along dengan bayaran sehingga mencecah RM1,500.
“Untuk bakar kediaman atau kenderaan, upah diterima adalah antara RM1,000 hingga RM1,500, manakala bagi setiap tugas menyimbah cat sekitar RM300 hingga RM500.
“Suspek lelaki disyaki telah ambil upah ini sejak tiga bulan lepas dan dia baru sahaja berhenti bekerja sebagai pemandu di kedai barangan elektrik yang juga tempat kekasihnya bekerja,” ujarnya.
Christopher berkata, suspek lelaki kini direman selama tujuh hari, manakala teman wanitanya enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan api. – KOSMO! ONLINE















