SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam di sini, hari ini memberikan hak jagaan kekal ketiga-tiga anak penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad kepada isterinya, Dr. Afifah Hidayah Tawfek.
Menurut peguam Syarie yang mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader, hak jagaan kekal yang diberikan kepada anak guamnya itu adalah hasil persetujuan kedua-dua belah pihak menerusi perjanjian yang dimeterai di majlis sulh sebelum disahkan mahkamah.
“Jadi, ibu akan dapat hak jagaan kekal, manakala bapa (Nubhan) pula mendapat hak lawatan sebulan dua kali iaitu minggu pertama dan ketiga.
“Bagi hari raya Aidilfitri dan Aidiladha pula, hak jagaan akan pula secara bergilir-gilir seperti biasa.
“Tak ada apa-apa lagi nak dipertikaikan mengenai hadanah, semua sudah diselesaikan secara baik. Selepas ini tiada apa lagi dan kami pun dah rekodkan terma persetujuan serta akan tarik balik perintah mahkamah,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.
Ditanya mengenai faktor yang mendorong persetujuan di pihak Nubhan, Akberdin menyatakan bahawa kedudukan undang-undang lazimnya memihak kepada ibu bagi anak-anak yang masih kecil.
“Lazimnya anak-anak yang masih kecil, ibu akan dapat hak. Jadi bagi saya itu adalah satu kedudukan undang-undang yang mantap, kanak-kanak kecil selalunya ibu yang akan dapat hak jagaan.
“Dalam prosiding majlis sulh tadi, kami mengemukakan perjanjian kepada pegawai sulh dan memandangkan semua terma dipersetujui terlebih dahulu maka perjanjian diterima dan direkodkan sebagai persetujuan rasmi.
“Perjanjian itu juga sudah disahkan hakim sebagai perintah rasmi mahkamah,” katanya lagi.
Terdahulu, Nubhan memfailkan hadanah (hak penjagaan anak) terhadap tiga anaknya, Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3, hasil perkahwinan dengan Afifah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada September lalu.
Menurut peguam syarie yang mewakilinya, Mohd. Redzuan Ramli, Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad memfailkan dua tuntutan iaitu hadanah kekal dan interim.
Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.
Mahkamah Rendah Syariah Sepang seterusnya menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi, Nubhan ke atas Dr. Afifah. – KOSMO! ONLINE















