BEIRUT – Sebahagian tembok pemisah yang dibina Israel runtuh akibat banjir ketika hujan lebat di Tebing Barat yang diduduki, lapor laman berita The New Arab semalam.
Situasi hujan lebat berterusan di Israel sepanjang malam sehingga semalam, disertai hujan batu, ribut petir dan angin kencang, menyebabkan arus deras menutup jalan-jalan utama.
Seramai dua orang yang terperangkap di dalam sebuah kereta berhampiran Lebuh Raya 70 dekat bandar utara, Tamra telah diselamatkan.
Penumpang sebuah lori yang dibawa arus deras yang meningkat dari Sungai Yatir di wilayah Negev selatan juga diselamatkan, selain beberapa orang yang menaiki dua kenderaan lain di Beersheba.
Di Tebing Barat, banjir telah meruntuhkan sebahagian tembok pemisah di selatan bandar Hebron.
Video yang dikongsi di internet memaparkan sebahagian tembok konkrit yang dibina oleh Israel selama bertahun-tahun bagi mengasingkan komuniti Palestin itu runtuh akibat banjir.
Bahagian tembok yang runtuh terletak berhampiran kampung Al-Burj, manakala tanah runtuh mengganggu lalu lintas di jalan utama dan di bahagian lain Tebing Barat.
Beberapa kenderaan dilaporkan rosak, namun tiada kecederaan berlaku. – AGENSI















