KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang disyaki mencederakan wartawan sukan, Haresh Deol, dalam kejadian berhampiran Bangsar Village di sini, semalam.
Penahanan itu dilakukan sepasukan anggota dari Team Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada pukul 2 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, susulan tangkapan berkenaan, polis memperoleh perintah reman selama tiga hari terhadap suspek sehingga 28 November 2025.
“Perintah reman telah dibenarkan selepas permohonan dikemukakan di hadapan Majistret Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan tiga lelaki yang disyaki menyerang dan memukul Haresh Deol sehingga cedera dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang berhampiran Jalan Telawi.
Menurut Chang Hook, ketika kejadian, mangsa sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi sebelum didatangi tiga suspek yang kemudian menyerangnya. – KOSMO! ONLINE














