fbpx
Ketua Balai Polis Bertam, Sarjan Mejar Adnan Ahmad (kanan) memujuk golongan warga emas untuk berpindah awal ke PPS di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang hari ini. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

Sungai Galas lepasi paras bahaya, penduduk dipujuk pindah awal ke PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Pihak polis tiada pilihan lain apabila terpaksa memujuk penduduk Kampung Limau Kasturi di sini yang tinggal berhampiran Sungai Galas agar berpindah lebih awal ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas paras sungai tersebut mencatatkan paras bahaya pada petang ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota polis sebelum ini sudah membantu mangsa banjir di kawasan itu untuk berpindah ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi.

Katanya, proses pemindahan awal penduduk yang tinggal berhampiran sungai itu turut dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Penduduk yang tinggal berhampiran sungai dinasihatkan untuk berpindah awal sebelum berlaku banjir. Tindakan itu diambil selepas mengambil kira aspek keselamatan penduduk kerana air sungai menunjukkan masih di paras bahaya.

“Anggota polis terpaksa memujuk dan menasihatkan beberapa penduduk yang enggan berpindah bagi mengutamakan keselamatan mereka. Kami khuatir air akan semakin naik dan operasi menyelamat juga pasti akan menjadi lebih sukar sekiranya air rumah mereka terjejas banjir,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, setakat ini, seramai 35 orang penduduk daripada 10 buah keluarga sudab berpindah ke PPS.

Katanya, jima paras air masih menunjukkan trend menaik dan bahaya, jumlah mangsa di PPS akan semakin bertambah kerana anggota penyelamat masih dalam operasi memindahkan penduduk kampung.

“Penduduk di sini terpaksa berdepan dengan kejadian banjir apabila Sungai Galas melimpah. Saya setuju dengan tindakan anggota polis yang memujuk penduduk untuk berpindah awal sebelum rumah mereka dinaiki air,” katanya.

Laman web rasmi Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan melaporkan, paras air Sungai Galas di Kampung Limau Kasturi melebihi paras bahaya dengan catatan 60.07 meter (m) melebihi paras normal 53 m. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN