fbpx
Lokman (tengah) berbual bersama penerima anugerah pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perhebat di Kompleks Perhebat, Kem Sungai Buloh hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Perhebat sasar 73,000 peluang pekerjaan veteran ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) giat melaksanakan Inisiatif Kerjaya Kedua Perwira yang menyasarkan lebih 73,000 peluang pekerjaan melalui kerjasama strategik dengan lebih 200 agensi industri dalam pelbagai sektor utama negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, inisiatif itu turut menetapkan sasaran pendapatan minimum RM2,200 bagi memastikan kesejahteraan bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Warga industri perlu tampil sebagai rakan pembangunan negara. Para pesara ATM telah mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air yang menjadi tunjang kestabilan ekonomi Malaysia.

“Maka, adalah tanggungjawab moral dan nasional sektor swasta untuk menghargai jasa mereka dengan menyediakan peluang pekerjaan serta kerjaya yang berkualiti,” katanya pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program RPEL) dan Sijil Perhebat, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Menurut Adly, Perhebat akan terus memperkukuh ekosistem kerjaya veteran secara bersepadu melalui pemadanan kemahiran, peningkatan latihan teknikal dan pembangunan kerjaya menyeluruh yang menghubungkan secara langsung bakal pesara ATM dengan pasaran pekerjaan.

“Saya yakin, keterlibatan aktif pemain industri merupakan faktor penentu dalam kejayaan Pelan Transformasi Perhebat,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada lebih 62 syarikat rakan industri termasuk Kumpulan Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang terlibat dalam sektor penyelenggaraan dan baik pulih, pembuatan, perkhidmatan, teknologi hijau dan marin, telekomunikasi, pengangkutan serta agromakanan.

“Kerjasama ini amat penting dalam merealisasikan hala tuju kerjaya kedua veteran ATM. Keterlibatan aktif pemain industri adalah faktor penentu dalam kejayaan Pelan Transformasi Perhebat,” katanya.

Mengulas pencapaian terbaharu, Adly berkata, Perhebat telah menghantar kumpulan pertama bakal veteran ke Liuzhou, China pada 25 September lalu di bawah Program PLKI-ECRL bagi mengikuti latihan antarabangsa dalam industri rel.

Seramai 10 peserta kini menjalani Kursus Railway Power Supply Technology selama setahun di Liuzhou Railway Vocational Technical College dan dijamin penempatan kerja bersama Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. serta China Communications Construction Company (Malaysia) Sdn. Bhd. selepas tamat pengajian, khususnya dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa transformasi Perhebat telah pun bermula dan menunjukkan hasil nyata,” jelasnya.

Setakat ini seramai 2,867 anggota ATM telah menamatkan Latihan Peralihan di seluruh negara, manakala 576 anggota dan veteran berjaya dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi RPEL. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN