MUAR – Dua maut dalam nahas tiga kenderaan berat dalam kejadian di Kilometer 129.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dari Pagoh ke Yong Peng di sini awal pagi hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, mangsa yang maut melibatkan seorang pemandu lori serta kelindannya masing-masing berusia 23 dan 24 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan itu membabitkan dua buah treler dan sebuah lori. Menurutnya, siasatan awal mendapati, treler pertama dipandu lelaki 52 tahun sedang bergerak di lorong kiri menuju ke Johor Bahru dirempuh dari arah belakang oleh treler kedua sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Dalam masa sama, lori yang dipandu lelaki 23 tahun yang berada di laluan sama gagal mengelak lalu menghentam bahagian belakang treler kedua, menyebabkan kenderaan itu turut terbabas ke dalam longkang.
“Akibat rempuhan itu, pemandu dan kelindan lori tersepit dalam kabin sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia akibat cedera parah pada anggota badan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, pemandu treler kedua hanya mengalami kecederaan ringan dan kini menerima rawatan di Klinik Kesihatan Yong Peng, manakala pemandu treler pertama tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE















