MELAKA – Sepasang kekasih yang juga merupakan doktor masing-masing didenda RM2,600 dan RM1,800 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini selepas mengaku bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, di sini, Julai lalu.
Hakim Kanan Syarie, Abu Bakar Mohd. Daud menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abdul Hakim Abdul Rahman, 26, dan Nur Arifah Adlina Azman, 26, selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan dan hujah pihak pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh yang kini bertugas di sebuah hospital kerajaan di negeri ini dan klinik di Sarawak dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh lelaki didapati telah berkurung yang mendatangkan syak dengan Nur Arifah yang bukan isteri atau mahramnya di sebuah rumah beralamat di Taman Perdana, Semabok kira-kira pukul 3.37 petang 29 Julai lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 53 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, manakala doktor wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 53(2) enakmen sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh masing-masing boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 dan RM2,000 atau penjara maksimum 24 bulan atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pendakwaan telah dikendalikan Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh lelaki dalam rayuannya memohon denda ringan diberikan dengan alasan telah insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi, selain bakal berkahwin dengan pasangannya itu dalam tempoh terdekat.
Hujahnya lagi, kesalahan dilakukannya turut memberi kesan terhadap kariernya sebagai penjawat awam.
Tertuduh wanita yang masih bujang juga memberitahu telah menyesal dan insaf serta menghadapi tekanan emosi susulan kejadian tersebut.
Radzwan bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah dosa besar dan serius. – KOSMO! ONLINE














