PETALING JAYA – Malaysia dan Norway berpotensi memperluas kerjasama dalam sektor tenaga hijau susulan minat baharu yang disuarakan negara itu, khususnya melibatkan pemindahan teknologi dan pembangunan tenaga lestari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Norway ke Malaysia, Marianne Fosland di pejabatnya di Parlimen, hari ini.
Menurutnya, hubungan dua hala Malaysia–Norway telah lama terjalin kukuh terutamanya dalam bidang tenaga hidro.
“Norway turut menyatakan minat untuk meneroka peluang baharu dalam sektor tenaga hijau lain. Semoga kerjasama dua hala dapat terus diperkukuh, khususnya melalui program-program pertukaran, pemindahan teknologi serta inisiatif pembangunan tenaga lestari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Fadillah berkata, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai potensi kerjasama lebih meluas di peringkat ASEAN, termasuk projek strategik di bawah inisiatif Grid Kuasa ASEAN. – KOSMO! ONLINE














