fbpx
Seorang amah Indonesia ditemui ketakutan apabila bersembunyi di bawah sebuah kereta pacuan empat roda.

Majikan seksa amah Indonesia, disuruh bersembunyi bawah kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen (JIM) dalam serbuan di Batu Caves, di sini pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mangsa berusia 56 tahun itu ditemui dalam keadaan ketakutan apabila bersembunyi di bawah sebuah kereta pacuan empat roda.

“Siasatan awal mendapati wanita tersebut diarahkan berbuat demikian oleh majikannya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Mangsa telah bekerja sebagai pembantu rumah hampir 16 tahun tanpa sebarang dokumen atau pas yang sah. Lebih menyedihkan, dia hanya dijanjikan gaji RM600 sebulan, namun tidak menerima sebarang bayaran sejak dua tahun lalu.

“Ketika diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan trauma akibat sering dimarahi dan pernah dipukul majikan. Pasportnya juga tidak berada dalam simpanan sendiri, malah komunikasi disekat apabila tidak dibenarkan memegang telefon bimbit serta dilarang menghubungi keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa turut dipaksa bekerja tanpa waktu rehat dan terpaksa mencuri masa untuk tidur kerana beban kerja yang berterusan.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia sekitar 51 tahun dipercayai majikan mangsa ditahan dan mengaku mendapatkan khidmat wanita berkenaan melalui ahli keluarga terdekat.

“Operasi menyelamat tersebut dilakukan menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) berasaskan garis panduan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“JIM telah memulakan siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670),” katanya.

Sebarang aduan boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-8880 1471 atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN