SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga Nepal didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini atas dua pertuduhan membunuh seorang wanita dan anak angkatnya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru di sini, Oktober lalu.
Tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, mengangguk faham kedua-dua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Hindi di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Akit, bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, tertuduh dilihat membuat isyarat memohon ampun dengan mengangkat kedua-dua tangganya ketika wajahnya dirakam kumpulan jurugambar sebaik tiba di pekarangan mahkamah dan semasa prosiding berlangsung.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa membunuh Sariya Che Hin, 51, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam di sebuah rumah bernombor 502, Kampung Sekolah Juru di sini, pada 18 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa membunuh Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, pada tarikh, masa dan lokasi sama dengan pertuduhan pertama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli manakala tiada peguam mewakili tertuduh dan mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE















