JEMPOL – Seorang pemandu pikap yang tular selepas didakwa melanggar lampu isyarat sehingga menyebabkan kemalangan dengan kereta Mercedes-Benz minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, di sini hari ini.
Tertuduh, Hiew Jyh Cherng, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Elizabeth Low.
Kontraktor itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kemalangan ke atas kenderaan milik lelaki berusia 58 tahun di Kilometer satu, Jalan Bahau-Juasseh pada pukul 11.30 malam, 23 November lalu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan kerana mempunyai lima anak, sudah bercerai dan menanggung ibu bapa.
Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE















