fbpx
Noor Farizah menunjukkan gambar Allahyarham Muhammad Firdaus ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, Alor Setar hari ini.

Keluarga ambil tindakan undang-undang kes pemuda dirempuh pikap polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Keluarga pemuda yang maut dirempuh pikap polis di Perlis malam tadi mahu mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan di atas kejadian yang menimpa mangsa.

Noor Farizah Hazain, 34, berkata, ahli keluarga masih terkejut dengan insiden yang menimpa anak saudaranya Allahyarham Muhammad Firdaus Aiman Zainon, 24.

“Insya-Allah kami akan ambil tindakan sepatutnya bagi menuntut keadilan untuk arwah. Kami akan mendapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dalam hal ini. Arwah adalah harapan kami. Dia menjaga keluarga termasuk datuk dan neneknya yang tidak sihat.

“Kami memang bergantung harap kepada dia, tak sangka Tuhan ambil dia secepat ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Kosmo! Online melaporkan Muhammad Firdaus Aiman maut dalam kejadian kejadian pukul 10.20 malam tadi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas motosikal yang dia tunggang dilanggar pikap polis di Persiaran Wawasan, Kangar.

Cerita Noor Farizah, dia tidak menyangka panggilan video beberapa jam sebelum kejadian dengan arwah yang memaklumkan tentang perkembangan banjir di rumah mereka adalah yang terakhir.

“Petang semalam dia sibuk selamatkan rumah yang dimasuki air, itu kali terakhir saya dengar suaranya. Saya sepatutnya pulang untuk membantunya, namun terpaksa tangguh kerana hujan. Selepas itu, arwah pergi buat laporan polis atas arahan majikan.

“Selepas selesai (buat laporan), dia keluar makan dengan lima rakannya. Dalam perjalanan pulang, itu detik terakhir. Tidak lama kemudian saya dapat tahu dia terbabit dalam kemalangan. Abang saya pula beritahu arwah meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Tambahnya, arwah yang merupakan anak sulung daripada empat beradik turut kehilangan adik yang meninggal dunia dalam kemalangan pada tahun 2013.

Jenazah Muhammad Firdaus dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Utan Aji selepas selesai urusan bedah siasat di HSB. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN