fbpx
Gambar hiasan.

JPN Johor tepis dakwaan pelajar dihalang duduki SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor menepis dakwaan tular kononnya seorang pelajar dihalang daripada menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akibat menjadi mangsa buli di sekolah.

JPN Johor dalam kenyataan menjelaskan, hasil siasatan mendapati pelajar terbabit sebenarnya telah berhenti sekolah pada 2024 atas permintaan penjaganya sendiri bagi mengikuti bidang kemahiran, bukannya disebabkan mana-mana tindakan menghalang atau unsur buli seperti yang didakwa.

Menurut kenyataan itu, pihak sekolah turut mengesahkan bahawa tindakan pemulihan berkaitan isu buli telah dilaksanakan lebih awal dan tidak timbul sebarang unsur keciciran yang disengajakan.

“Hasil pertemuan khas antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan penjaga murid berkenaan mencapai kata sepakat bahawa pelajar tersebut akan kembali menduduki SPM pada tahun 2026. Malah, Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah telah membantu menguruskan pendaftaran sebagai calon SPM 2026 bagi memastikan segala proses berjalan lancar,” kata kenyataan itu.

JPN Johor menambah, bagi memastikan kebajikan pelajar tidak terabai, GiatMara turut menawarkan tajaan penuh untuk mengikuti pengajian kemahiran selama enam bulan bermula Januari 2026.

Jelasnya, sokongan itu diperkukuhkan lagi dengan bantuan Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) yang bersetuju menanggung kos sewaan bilik selama tempoh sama supaya murid berkenaan dapat mengikuti program kemahiran tanpa gangguan.

“JPN Johor turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, GIATMARA dan PIBKS atas usaha kolektif memastikan kebajikan serta masa depan murid terus menjadi keutamaan.

“JPN Johor terus komited memastikan tiada keciciran murid dalam menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI