fbpx
Paras banjir di Hatyai dikatakan semakin meningkat.

Jet ski aset terbaharu dikerah cari baki rakyat Malaysia di Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Luar memaklumkan bahawa usaha menyelamat rakyat Malaysia yang terjejas banjir di Hatyai, Thailand terus dipergiat dengan seramai 1,210 individu berjaya dipindahkan sejak kelmarin.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, situasi banjir di Hatyai dan kawasan sekitarnya masih serius dengan hujan lebat berterusan, namun operasi penyelamatan menunjukkan perkembangan positif.

Katanya pada semalam, seramai 870 rakyat Malaysia diselamatkan dengan bantuan pasukan penyelamat negara serta pihak berkuasa Thailand, susulan 340 orang yang dipindahkan pada kelmarin.

“Walaupun jumlah rakyat Malaysia yang terkandas semakin berkurangan, ribuan mangsa termasuk warga Malaysia masih tidak dapat keluar dari Hatyai akibat paras air tinggi dan arus deras. Keutamaan diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan perubatan atau kebajikan segera,” kata kenyataan itu.

Bagi mengukuhkan operasi katanya, sebuah pasukan dari Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah tiba di Hatyai pada malam semalam bagi menyokong operasi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di lapangan.

“Dengan kerjasama badan bukan kerajaan Malaysia dan Tentera Diraja Thailand, pasukan penyelamat mengagihkan ubat-ubatan penting, makanan dan air bersih selain meneruskan pemindahan mangsa apabila keadaan mengizinkan,” ujarnya.

Jelas kenyataan itu, sebanyak 22 jet ski Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) turut tiba hari ini bagi meningkatkan mobiliti dan memperluas capaian operasi di kawasan yang paling terjejas.

“Kementerian akan meneruskan operasi sehingga semua rakyat Malaysia berdaftar selamat dipindahkan,” katanya.

Katanya, rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan supaya kekal berada di dalam rumah, berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta pasukan penyelamat.

Wisma Putra memaklumkan, mereka yang belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla atau Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok turut disaran berbuat demikian segera bagi memudahkan koordinasi bantuan.

“Untuk bantuan konsular boleh menghubungi Bilik Gerakan Kementerian Luar Negeri (Putrajaya) di talian03-8887 4570 atau emel ke [email protected].

“Selain itu, boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di talian +66-87-028-4659 atau talian tambahan +66-2340-5721 serta emel ke [email protected],” jelasnya.

Katanya, mangsa terjejas juga boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla melalui talian +(6674) 316274 / +(6681) 9901930/ talian tambahan +(6674) 324004 / 312353 atau emel ke [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI