JAKARTA – Pihak berkuasa ibu negara Indonesia, Jakarta mengharamkan penjualan dan amalan memakan daging anjing, kucing serta kelawar bagi mencegah penularan penyakit rabies, kata Gabenornya, Pramono Anung semalam.
Larangan itu dianggap satu kemenangan bagi kumpulan pejuang hak haiwan.
“Saya telah menandatangani peraturan yang melarang penjualan haiwan pembawa rabies untuk tujuan makanan,” kata Pramono dalam satu kenyataan di media sosial, sebulan selepas beliau berjanji untuk berbuat demikian.
Peraturan itu yang menurutnya ditandatangani Isnin lalu, menyediakan tempoh kelonggaran selama enam bulan sebelum ia dikuatkuasakan, demikian menurut satu dokumen yang dilihat oleh AFP.
Mereka yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan sama ada menerima amaran bertulis sehingga pembatalan lesen perniagaan.
Gabenor itu berkata, larangan tersebut merangkumi haiwan hidup, daging atau produk lain, sama ada mentah atau diproses.
Peraturan itu turut mengharamkan sebarang aktiviti berkaitan haiwan pembawa rabies atau anjing gila yang bertujuan untuk tujuan makanan.
Rabies adalah jangkitan virus yang kebiasaannya tersebar melalui gigitan haiwan yang telah dijangkiti dan boleh boleh membawa maut.
Indonesia merupakan salah satu daripada beberapa negara yang membenarkan penjualan daging anjing dan kucing, tetapi kempen menentang amalan itu semakin mendapat sokongan, dengan beberapa bandar melaksanakan larangan tempatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP/AGENSI














