MARANG – Seorang ibu dalam pantang nekad menggendong bayi perempuannya yang baru berusia 28 hari meredah banjir hampir semeter selepas rumah mereka di Taman Al-Amin, Bukit Payong, di sini, dinaiki air hari ini.
Nur Halimatul Nor Azlan, 31, berkata, rumah mereka ditenggelami sedalam kira-kira 0.5 meter berikut hujan lebat berterusan sejak pukul 8 malam kelmarin.
“Awal pagi tadi, seorang jiran mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan tidur kami dan meminta agar segera berpindah. Air naik dengan cepat. Saya cuma mampu menyelamatkan dokumen penting sebelum ikut berpindah bersama dua anak termasuk bayi berusia 28 hari dengan dibantu dua adik,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payung di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Che Maznah Mustafa, 57, berkata, dia dan suami yang sedang nyenyak tidur hanya tersedar rumah mereka telah dinaiki air pada pukul 3 pagi.
“Air naik dengan cepat dan ini banjir terburuk sejak kami mula duduk di taman perumahan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE















