BANGKOK – Sebahagian kawasan di selatan Thailand berhadapan banjir terburuk akibat hujan lebat dengan sekurang-kurangnya 33 orang maut setakat hari ini, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Situasi banjir yang semakin buruk itu mendorong pihak berkuasa mengerahkan kapal-kapal tentera dan helikopter untuk menyokong usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa.
Hujan lebat melanda 10 wilayah di selatan negara itu sepanjang minggu lalu, dengan bandar Hatyai merekodkan jumlah hujan paling lebat dalam tempoh 300 tahun iaitu 335 milimeter dalam satu hari.
Beberapa gambar menunjukkan kenderaan dan rumah tenggelam di bandar tersebut, manakala penduduk yang terdesak menunggu di atas bumbung untuk pasukan penyelamat datang membantu mereka.
Lebih dua juta orang di Thailand terjejas akibat banjir tetapi hanya 13,000 mangsa telah dipindahkan ke pusat-pusat perlindungan.
Tentera Thailand yang diberi tanggungjawab mengendalikan krisis itu berkata, ia sedang bersiap sedia untuk menghantar sebuah kapal pengangkut pesawat dan 14 buah bot yang membawa bekalan bantuan dan dapur, yang dikatakan mampu menyediakan 3,000 hidangan sehari.
Pasukan perubatan di atas kapal pengangkut pesawat itu akan menukarnya menjadi hospital terapung jika perlu, demikian menurut tentera.
Gabenor Songkhla, Rattasat Chidchu berkata, sejumlah bot, trak berjarak tinggi dan jet ski turut dikerahkan untuk memindahkan penduduk.
Kelmarin, kabinet mengisytiharkan Songkhla sebagai zon bencana bagi membolehkan peruntukan bantuan disalurkan.
Sebuah kumpulan penyelamat sukarelawan, Matchima Rescue Center memberitahu, mereka dibanjiri ribuan panggilan dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini, dengan orang ramai meminta dipindahkan. – AGENSI















