LAS VEGAS – Juara dunia dua kali, Fernando Alonso meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penganjuran Grand Prix (GP) Las Vegas apabila menyifatkan keadaan litar tersebut sebagai tidak mencapai standard Formula Satu (F1).
Pemandu Aston Martin itu menegaskan permukaan litar jalanan berkenaan terlalu licin dan beralun, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada pemandu F1.
“Litar ini menyeronokkan kerana memiliki kelajuan tinggi, tetapi jenis permukaan litar yang digunakan pada perlumbaan ini bukan standard F1.
“Ia terlalu licin, menyebabkan kami gagal mendapatkan suhu tayar yang optimum. Tiada cengkaman dan permukaannya sangat beralun, ia berada di tahap minimum untuk dianggap selamat bagi perlumbaan,” katanya.
Susulan itu, Alonso menggesa satu perbincangan diadakan bersama Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bagi meneliti semula kesesuaian litar tersebut untuk kalendar tahun hadapan.
Selain isu litar, pelumba veteran Sepanyol itu turut menyelar penyusunan jadual perlumbaan yang membebankan terutama dari Las Vegas ke Qatar melibatkan penerbangan selama 17 jam.
“Secara jujur, kedudukannya dalam kalendar amat menyukarkan kami. Terbang ke Qatar terus dari sini mengambil masa 17 jam dengan perbezaan masa 13 jam.
“Saya tidak rasa ada sukan lain di dunia yang sanggup menerima keadaan sebegini,” tambahnya. – AGENSI














