fbpx
FAHMI menyifatkan pemergian Allahyarham Dharma satu kehilangan besar buat industri seni.

Fahmi Fadzil anggap Dharma insan lembut, disegani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelakon veteran Dharma Harun Al Rashid, malam tadi.

Menurut Fahmi, beliau sempat bertemu arwah pada awal tahun ini dan menyifatkan pelakon itu sebagai figura seni yang berkeperibadian lembut serta disegani ramai.

“Saya berdukacita menerima perkhabaran seniman Dharma Harun Al Rashid telah kembali ke rahmatullah sebentar (malam) tadi.

Pertemuan saya dengan Allahyarham Dharma pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada artis veteran di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) awal tahun ini masih segar dalam ingatan.

“Beliau seorang yang berkeperibadian lembut, bersahaja dan dihormati ramai,” katanya dalam hantaran Facebook.

Dalam pada itu, Fahmi turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama golongan beriman.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Dharma dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Semalam, Dharma dilaporkan meninggal dunia sendirian di kediamannya kira-kira pukul 9.10 malam.

Khabar duka tersebut dimaklumkan anak keduanya, Muhammad Al Shafiq yang baru tiba di rumah dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan mendapati bapanya sudah tidak bernyawa.

Difahamkan pelakon berusia 68 tahun itu menghidap pelbagai penyakit seperti asma, bengkak bahagian jantung dan paru-paru, gastrik serta mempunyai masalah tiroid.

Sebelum ini iaitu sekitar 2019 Dharma pernah mengalami serangan angin ahmar yang mengakibatkan pertuturannya terjejas.

Berikutan kesan strok serta beberapa masalah kesihatan lain, daya ingatannya turut terjejas sekali gus menyebabkannya tidak lagi mampu bekerja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN