KUALA LUMPUR – Anak kepada Allahyarham Dharma Harun, Syafiq Darma, menyifatkan peluang mengimamkan solat jenazah bapanya sebagai hadiah paling besar dalam hidupnya.
Ujar Syafiq atau nama sebenarnya Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 36, detik itu menjadi pengalaman luar biasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Allahuakbar, kalau saya boleh cakap, itu hadiah terbaik untuk bapa saya. Saya mandikan dia tanpa rasa segan. Itu bapak saya.
“Lepas tu saya tertanya, boleh ke saya nak imamkan? Saya tanya imam dan pak cik. Kebetulan imam kata, ‘Anak lebih afdal.’ Saya pun belajar kejap, bacaan pun tak panjang. Saya cuba buat yang terbaik,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambahnya, meskipun tidak sempat bertemu ketika saat akhir arwah menghembuskan nafas terakhir, peluang menguruskan pengakhiran insan tersayang memberi ketenangan besar.
“Saya tak sempat jumpa waktu nafas terakhir. Tapi sekurang-kurangnya saya dapat bagi hadiah paling bermakna untuk pengakhiran dia. Jasad dia masih di bumi, itu amanah saya,” ujarnya usia majlis pengebumian, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai langkah seterusnya, Syafiq menegaskan tanggungjawab meneruskan legasi arwah tetap di bahunya.
“Saya rasa tak ada lain. Bapa selalu cerita tentang Deko Ibadah. Saya tengah belajar dan tak pasti bagaimana nak teruskan, tapi saya cuba.
“Tanggungjawab saya juga termasuk badal haji. Kalau ada hutang puasa atau apa-apa, saya cuba selesaikan. Saya tengah tanya kakak juga,” jelasnya.
Paling penting kata anak bongsu daripada dua beradik itu, nama Dharma akan terus ‘dihidupkan’ dalam dunia seni.
“Nama saya akan kekal Syafiq Darma. Rezeki kalau ada orang panggil berlakon, saya buat. Alhamdulillah, ada orang mula panggil. Bila saya minta tolong selaras jadual, mereka pun sanggup
“Saya tak nak matikan nama Dharma dalam perfileman. Biar orang ingat Dharma tu siapa,” tuturnya.
Malam tadi, Allahyarham Dharma, 68, meninggal dunia sendirian di kediamannya di Wangsa Maju akibat sakit tua.
Jenazah dimandikan serta disolatkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh, Kuala Lumpur.
Allahyarham meninggalkan khazanah seni besar buat industri perfileman tanah air, termasuk legasi lakonan yang terus dipandang tinggi oleh generasi baharu. – KOSMO! ONLINE.














