PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mempergiat kerja-kerja pembersihan di Jalan Sepadu 7, Taman United susulan insiden kegagalan struktur penahan di lokasi berkenaan.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, kerja pembersihan melibatkan pengeluaran batu-batu kecil serta bongkah batu besar bagi memastikan kawasan berada dalam keadaan selamat sebelum proses baik pulih dimulakan.
Menurutnya, sebaik sahaja kerja pembersihan selesai, kerja-kerja pembaikan cerun akan diteruskan dalam tempoh tiga hingga empat hari, bergantung kepada keadaan cuaca.
“Pihak perunding geoteknikal turut akan menjalankan siasatan tanah (soil investigation) dan menyediakan laporan geoteknikal bagi menilai tahap keselamatan cerun.
“Penduduk yang terjejas hanya dibenarkan kembali selepas laporan mengesahkan cerun selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, DBKL turut memantau keadaan cerun berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya sehingga situasi kembali pulih sepenuhnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dua blok pangsapuri kos rendah di Jalan Sepadu 6, Taman United, Seputeh di sini diarah untuk dikosongkan susulan kejadian runtuhan tanah.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian sekitar pukul 11.02 pagi sebelum menggerakan 11 anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh. – KOSMO! ONLINE














