KUALA LUMPUR – Ditebak hamil, penyanyi Amira Othman mengakui insiden dimasukkan ke wad beberapa hari lalu sebenarnya berpunca daripada masalah bronkitis.
Tidak melenting, Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman, 32, menyifatkan spekulasi yang bertebaran sebagai satu kelaziman, selain meminta orang ramai mendoakannya dan suami, Fattah Amin.
“Doakan yang baik-naik. Kalau ada rezeki, ada berita baik, sesuai pada waktunya saya akan kongsikan. Saya masuk hospital sebab bronkitis.
“Waktu itu saya sukar untuk bernafas. Kebetulan saya dan suami dijadualkan menjalani kerja penggambaran di Korea Selatan, jadi saya ke hospital mendapatkan rawatan.
“Tapi disebabkan keadaan tidak mengizinkan, doktor nasihatkan saya tidak pergi. Kemudian spekulasi (hamil) timbul. Apa pun itu biasalah kan.
“Saya ini dari zaman anak dara pun ada macam-macam spekulasi muncul. Saya cuma harap doa yang baik-baik daripada kalian,” katanya ketika ditemui di program Meletop, malam tadi.
Mengenai tahap kesihatannya ketika ini, penyanyi juga pelakon itu bersyukur apabila semakin pulih, namun mengakui masih mengalami batuk ringan.
“Alhamdulillah, sekarang sudah beransur sihat. Sebenarnya ini kali kedua saya berdepan serangan bronkitis.
“Mungkin tubuh saya agak sensitif, keluar hari-hari dan kita tak tahu keadaan sekeliling macam mana. Cuma benda pun nak jadi, reda sahaja,” ujarnya.
Pada sama, ditanya sama ada pertanyaan atau tebakan ramai mengenai zuriat mengganggu emosi, katanya itu lumrah untuk pasangan baru berkahwin.
“Benda baik kita aminkan, belum kahwin orang tanya bila nak kahwin. Dah kahwin, tanya bila nak ada anak, dah ada anak pertama, tanya bila nak anak kedua.
“Saya rasa itu perkara biasa. Saya tak ambil hati pun. Mudah-mudahan ucapan dan pertanyaan jadi doa, Allah makbulkan,” katanya.
Sebelum ini Fattah berkongsi khabar duka apabila Amira tidak dapat menyertainya ke Seoul berikutan isu kesihatan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Pasangan terbabit bergelar suami isteri serentak hari ulang tahun ke-35 bintang filem Pendekar Awang itu pada 14 September lalu. – KOSMO! ONLINE















