BRASILIA – Mahkamah Agung Brazil semalam memerintahkan bekas Presiden, Jair Bolsonaro untuk mula menjalani hukuman penjara 27 tahun atas tuduhan merancang satu cubaan rampasan kuasa yang gagal, selepas beliau menggunakan semua saluran rayuan.
Bekas kapten tentera yang lantang dan berjaya mengubah landskap politik itu kini menamatkan kerjaya kontroversinya dengan dipenjarakan di sebuah bilik kecil di ibu pejabat polis yang dilengkapi televisyen, peti sejuk mini dan penyaman udara.
Bolsonaro, 70, disabitkan pada September lalu kerana merancang untuk menghalang Luiz Inacio Lula da Silva daripada memegang jawatan Presiden selepas pilihan raya 2022. Beliau turut disabtikan bersalah kerana terlibat dalam satu komplot untuk membunuh pemimpin veteran berhaluan kiri itu.
Pendakwa raya bagaimanapun berkata, rancangan tersebut gagal kerana Bolsonaro tidak mendapat sokongan kepimpinan tertinggi tentera.
Mahkamah Agung turut menolak rayuannya terhadap hukuman tersebut awal bulan ini dan semalam memutuskan bahawa penghakiman itu kini muktamad.
Ia juga mengarahkan tribunal tentera menentukan sama ada Bolsonaro harus dilucutkan pangkat kaptennya.
Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes berkata, terdapat petunjuk bahawa Bolsonaro merancang untuk melarikan diri semasa satu perhimpunan penyokongnya yang dirancang oleh anaknya di luar rumah beliau.
Moraes merujuk kepada lokasi kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang berdekatan, manakala hubungan rapat Bolsonaro dengan Presiden AS, Donald Trump menunjukkan kemungkinan beliau cuba melarikan diri untuk mendapatkan suaka politik.
Namun, Bolsonaro berkata, tindakannya berpunca daripada paranoia disebabkan ubat-ubatan yang diambil dan menafikan cuba melarikan diri.
Bekas presiden yang memerintah dari 2019 hingga 2022 itu tetap mempertahankan bahawa beliau tidak bersalah dan merupakan mangsa penganiayaan politik. – AFP















