SONGKHLA – Bencana banjir yang melanda wilayah Songkhla memaksa Pihak Berkuasa Sukan Thailand (SAT) mengambil langkah drastik memindahkan venue acara Sukan SEA Thailand 2025 ke lokasi baharu.
Ia turut termasuk saingan bola sepak yang berdepan kemungkinan besar diubah ke Bangkok demi kelancaran edisi ke-33 tersebut menjelang penganjurannya dari 9 hingga 20 Disember ini.
Memetik laporan The Nation, Gabenor SAT, Kongsak Yodmanee mengesahkan arahan pemindahan itu dikeluarkan serta-merta selepas mendapati lokasi asal acara tersebut, Stadium Southern Major City tidak selamat digunakan akibat ditenggelami air.
SAT juga sedang meneliti keperluan memindahkan pertandingan bola sepak Kumpulan B di Stadium Tinsulanonda yang membabitkan Malaysia, Vietnam dan Laos.
Difahamkan, langkah itu sedang dipertimbangkan secara serius sekiranya laluan akses ke stadium berkenaan masih ditenggelami air biarpun keadaan padang dilaporkan selamat.
Jika pemindahan berlaku, aksi skuad Malaysia yang dijadualkan bermula 4 Disember ini mungkin beralih ke Bangkok sama ada di Stadium Nasional Rajamangala atau Stadium Thammasat.
Menurut Kongsak, keadaan banjir di stadium asal menghalang pegawai dan petugas teknikal daripada memasuki premis untuk melakukan kerja-kerja persiapan venue sekali gus mendesak penganjur mencari alternatif segera.
“Stadium Southern Major City kini banjir menyebabkan pegawai tidak dapat mempersiapkannya untuk acara muay thai,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, acara muay thai juga akan dilangsungkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Universiti Prince of Songkla.
Bagaimanapun, Kongsak memberi jaminan bahawa venue bagi acara-acara sukan lain di wilayah berkenaan seperti petanque dan pencak silat tidak terjejas dan kekal di lokasi asal seperti yang dijadualkan. – AGENSI















