KUALA TERENGGANU – Banjir di Terengganu yang semakin surut semalam meningkat kembali hari ini dengan bencana itu kini merebak ke daerah Marang.
Setakat ini, seramai 158 mangsa daripada 50 keluarga telah berpindah ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah tersebut dan Besut.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Besut paling terjejas dengan lima PPS yang menempatkan 90 mangsa daripada 29 keluarga telah dibuka.
Lima PPS tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang, Masjid Kampung Bukit Payung, Dewan Terbuka Kampung Belaoh, PPK Madani Belaoh dan SK Seri Payong.
Seramai 68 mangsa daripada 21 keluarga pula terjejas banjir di Marang.
Mereka kini berada di lima PPS iaitu SK Bukit Gasing, Dewan Sivik Pekan Wakaf Tapai, SK Simpang Rawai, SK Pengkalan Berangan dan SK Bukit Payong.
Terdahulu, Terengganu mula dilanda banjir mulai Jumaat lalu bermula di Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Perhentian, Besut. – KOSMO! ONLINE















