KEMAMAN – Polis Terengganu membekukan cuti semua pegawai dan anggotanya berikutan banjir musim tengkujuh yang mula melanda negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata, ia bertujuan bagi memastikan kelancaran operasi memindahkan mangsa terlibat dengan bencana banjir.
“Seramai 1,327 anggota dan pegawai polis digerakkan bagi membantu operasi banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut sehingga Mac tahun depan.
“Sebahagian besarnya merupakan 1,207 pegawai dan anggota kakitangan perkhidmatan awam dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini, hari ini.
Suffian berkata, selain itu, seramai 120 anggota daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) juga terlibat membantu operasi banjir.
Beliau berkata, biarpun dibeku, pegawai dan anggota polis berkenaan masih dibenarkan bercuti bagi kes kecemasan.
Dalam pada itu, Suffian menasihatkan penduduk terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya dinasihatkan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE















