IPOH – Seramai 4,345 mangsa banjir melibatkan 1,378 keluarga di negeri ini kini berlindung di 43 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah-daerah terlibat setakat pukul 8 pagi tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, Manjung masih kekal sebagai daerah paling ramai mangsa iaitu 1,830 penduduk melibatkan 545 buah keluarga dengan mereka ditempatkan di 14 buah PPS.
“Ia diikuti Perak Tengah yang mempunyai 846 orang mangsa daripada 274 buah keluarga dan mereka kini berlindung di sembilan buah PPS. Seterusnya ialah Hilir Perak yang mempunyai 681 mangsa (220 keluarga) yang ditempatkan di enam PPS.
“Daerah berikutnya ialah Bagan Datuk yang mempunyai 598 orang mangsa melibatkan 197 buah keluarga, dengan mereka berteduh di empat buah PPS disediakan. Muallim pula mempunyai 167 mangsa (48 keluarga) yang ditempatkan di tiga PPS,” katanya di sini hari ini.
Katanya, Larut, Matang dan Selama pula menempatkan 152 penduduk dari 52 buah keluarga di empat PPS yang dibuka, sementara Batang Padang mempunyai sebuah PPS beroperasi yang didiami tiga mangsa dari sebuah keluarga. – KOSMO! ONLINE















