PETALING JAYA – Sebuah video tular memaparkan keadaan banjir semakin kritikal di Kosit Hotel, Hatyai, apabila paras air dilaporkan naik setinggi satu tingkat bangunan hingga memaksa mangsa mengibarkan bendera putih sebagai isyarat kecemasan meminta bantuan.
Video yang dikongsi pengguna media sosial @Lostver itu menunjukkan seorang mangsa berdiri di aras lebih tinggi sambil mengibarkan kain putih menggunakan batang panjang, dipercayai sebagai usaha terakhir menarik perhatian pasukan penyelamat.
Menurut hantaran berkenaan, seluruh kawasan lobi hotel telah ditenggelami banjir sepenuhnya, menyebabkan puluhan mangsa termasuk kanak-kanak dan wanita hamil terperangkap tanpa makanan dan tanpa sebarang bantuan penyelamat sejak pagi.
“Mereka mendakwa bateri telefon semakin kritikal, talian komunikasi pula terlalu perlahan, sekali gus menyukarkan mangsa menghubungi pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan bantuan segera,” tulisnya.
Seorang pengguna lain, Alias Musclean, turut mendedahkan bahawa rakannya yang menghuni tingkat lapan memberitahu paras air sudah mencecah paras kepala semalam.
Dalam reaksinya, pencipta video itu memaklumkan paras air kini hampir ke tingkat dua dan keadaan semakin buruk berikutan hujan masih turun tanpa henti.
Situasi yang semakin meruncing itu mencetuskan kebimbangan warganet Malaysia, yang menyuarakan harapan agar bantuan segera termasuk dari pihak Malaysia dapat digerakkan untuk membawa keluar rakyat yang terkandas di pusat bandar Hatyai.
Kejadian banjir besar di kawasan berkenaan dijangka berterusan susulan hujan lebat luar biasa yang melanda selatan Thailand sejak dua hari lalu. – KOSMO! ONLINE
@l0stver_ 25 NOVEMBER 2025 🆘🆘‼️‼️ KOSIT HOTEL, HAT YAI air semakin tinggi tinggi satu tingkat bangunan, keadaan di lobby sudah totally block membuatkan semua mangsa banjir yang terkandas termasuk kanak2 dan Ibu mengandung. TIADA BANTUAN SAMA ADA RESCUE MAHUPUN MAKANAN, PERCENTAGE BATTERY MEREKA DI TAHAP YG KRITIKAL DAN LINE SANGAT SLOW MENYUKARKAN MEREKA UNTUK MEMINTA BANTUAN. INISIATIF KIBARKAN BENDERA PUTIH ADALAH LAST METHOD BAGI MENDAPATKAN BANTUAN DALAM KADAR SEGERA 🆘🆘🆘‼️‼️‼️‼️ #hatyaithailand🇹🇭 #hatyaibanjir #fyppppppppppppppppppppppp #banjir2025 ♬ Everything Works Out in the end instrumental – scars















