PETALING JAYA – “Aku harap kau orang support (sokong) la FTC ni. Walaupun bukan pelanggan, dia orang tetap bantu orang.”
Itu antara reaksi orang ramai yang memuji tindakan pemilik sebuah syarikat insurans di Thailand dikenali sebagai ‘FTC Al Fauzan Thai Insurance’ (FTC) yang tidak berkira membantu rakyat Malaysia yang terkandas banjir di Hatyai, walaupun bukan terdiri daripada pelanggannya.
Pengguna media sosial, @Ameerulsobri berkata, dia dan rakannya sendiri telah dibantu pemilik syarikat berkenaan selepas tayar motosikal dinaiki pecah di Sadao, kelmarin.
“Macam kami Iepas daripada banjir Hatyai semalam (kelmarin), tayar motosikal kawan kami pecah dekat Sadao. Kami berhenti di stesen minyak di Sadao (dan) tengok bos FTC sampai nak isi minyak untuk hantar bantuan ke Hatyai.
“Kami minta tolong dia hantar motosikal kami dan rakan ke Danok. Tanpa banyak soal dia hantar kawan kami sampai Danok.
“Kawan kami nak bagi duit minyak sungguh-sungguh dia tolak. Niat dia nak bantu ja. Semoga bos FTC ni dimurahkan rezeki, sihat tubuh badan,” kongsinya.
FTC menerusi media sosial semalam, turut berkongsi bahawa mereka sedang bersiap sedia untuk menghantar beberapa buah bas dan van bagi membantu rakyat Malaysia yang masih terkandas banjir di Hatyai.
“Bas, van. Kami masih siap sedia di FTC. Disebabkan cuaca tak berapa baik, jadi kami masih menunggu untuk maklumat sekiranya bas boleh melepasi laluan ke Hatyai.
“Kita akan konvoi serentak untuk ke Central Hatyai dan ambil (mangsa) di sana. Okey, minta semua mohon bersabarlah, insya-Allah, doakan kami semua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
@ftcinsurancethai Persediaan Bas untuk Membantu Rakyat Malaysia yang masih Terkandas Banjir Di Hatyai. #hatyaithailand🇹🇭 #banjir #floating #fy #foryoupage ♬ original sound – Ftcthailandinsurance














