SEREMBAN – Seorang anggota polis mengalami kecederaan selepas dibaling dengan objek dipercayai besi ketika cuba mengejar kenderaan geng curi kabel di Taman Marida Senawang di sini kelmarin.
Menurut sumber, ketika kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi, mangsa seorang anggota polis berusia 30-an bersama rakan setugasnya sedang melakukan ronda cegah jenayah di sekitar Senawang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat dua buah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dan BMW dinaiki suspek. Semasa anggota polis menghampiri kenderaan itu, secara tiba-tiba suspek memecut melarikan diri.
“Anggota polis telah mengejar kenderaan Mitsubishi Triton, pada masa dua suspek yang berada di tempat duduk belakang telah membaling objek disyaki seperti besi,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sumber berkata, akibat dibaling dengan objek anggota polis itu yang menunggang mtosikal telah hilang kawalan lalu terjatuh dan mengalami kecederaan di tangan dan kaki.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian telah menemui satu kabel berukuran lebih kurang panjang 50 meter di atas jalan raya. Kabel tersebut telah dibawa balik ke Balai Polis Senawang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, sebuah video berdurasi satu minit tular di media sosial TikTok memaparkan dua lelaki menaiki Mitsubishi Triton dan sebuah kenderaan lain sedang mencuri kabel.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek. – KOSMO! ONLINE
@nogoripost Dengar cerita seorang anggota cedera semasa kejar geng ni. #sindiket #senawang #nogoripost ♬ Horror atmosphere piano & SE. – Kohrogi














